18 July 2011

Dr. Lo Lo' dalam kenangan...

Innalillahi wa inna ilaihi roji'un... Tepat jam 10.15 malam tadi, YB Titiwangsa Dr.Lo Lo' Mohd Ghazali telah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Selayang. Mengikut maklumat yang diperoleh, beliau meninggal akibat sakit kanser paru-paru yang beliau hadapi. Beliau telah dijemput menemui kekasihnya Allah Rabbul Alamin lebih awal daripada kita semua.


Beliau dikenali semasa pilihanraya ke-11 tahun 2004. Tika itu beliau bertanding di kawasan Parlimen Bukit Gantang tetapi tewas. Namun pada tahun 2008 iaitu ketika pilihanraya ke-12 beliau diberi kepercayaan bertanding di kawasan Parlimen Titiwangsa, dan beliau menang kerusi tersebut. 


Beliau seorang yang lembut budi bahasanya tetapi lantang dalam hal berkaitan agama Islam dan hak rakyat. Beliau banyak menabur bakti kepada warga kota KL sejak berjaya menang di kerusi tersebut. Aku yang selalu melihat beliau di merata-rata tempat ketika memberi ceramah mahupun bersama-sama rakyat berdemonstrasi, fizikalnya memang nampak sihat walafiat. Namun pengetahuan manusia amatlah terbatas, rupa-rupanya beliau mengalami masalah kanser paru-paru yang ada pada tahap stage 4.


Siapa sangka segagah beliau bersama-sama rakyat tapi beliau menghidapi sakit tersebut? Wajah beliau tidak pernah menunjukkan bahawa beliau menghidapi sakit itu. Itulah keikhlasan beliau dalam membantu rakyat jelata.


Dan hari ini, pemergian beliau selama-lamanya adalah satu kehilangan besar buat kami semua. Walau apapun, kami tetap akan teruskan perjuangan walau beliau tiada di sisi. Salam takziah buat keluarga Dr. Lo Lo'... Semoga Allah menempatkan roh arwah bersama-sama orang beriman.


YB DR. LO LO' ~ Dalam Kenangan... 
AL-FATIHAH

No comments:

Post a Comment