18 Safar 1435H
Assalammualaikum dan salam perjuangan kepada pembaca.
Syukur pada Allah yang masih menghidupkan kita setelah kita dimatikan sementara sepanjang malam tadi. Selawat dan salam ke atas penghulu terulung kita Rasullullah S.A.W. dan keluarga baginda Rasullullah S.A.W. serta sahabat-sahabat baginda Rasullullah S.A.W.
Melihat kepada tekanan kos sara hidup masyarakat kita hari ini semakin meningkat, tidak lain dan tidak bukan kita kembali kepada Allah. Sememangnya kita tidak bersetuju dengan pemerintah hari ini yang menekan kos hidup masyarakat tetapi paling utama adalah kembalikan situasi ini kepada Allah. Rasullullah S.A.W. ada mengingatkan kita apabila datangnya sebuah pemerintah yang zalim, itu merupakan antara tanda kiamat. Jika diamati daripada sudut pandangan Islam, perkara ini kita tidak boleh lari kerana ia telah disabdakan Rasullullah S.A.W. sendiri dan setiap kata-kata Baginda Rasullullah S.A.W. adalah yang benar belaka.
Bantah memang kita perlu bantah, benci memang kita perlu benci. Tetapi jangan bantah dan benci semata-mata tetapi harus dengan niat kerana Allah. Seperti mana yang berlaku di Palestin, Mesir, Syria, dan seluruh dunia yang umat Islamnya ditindas. Adakah mereka perlu mendiamkan diri sahaja tanpa melawan? Itu tidaklah seperti apa yang Islam sarankan. Sedangkan arahan ibu bapa yang menyuruh kita melanggar syariat Islam pun tidak wajib kita turuti, inikan pula pemerintah. Ada beberapa ustaz-ustaz yang menggunakan ayat-ayat Al-Quran yang mengharamkan kita melawan kerajaan, tetapi ustaz-ustaz tersebut tidak menceritakan kriteria kerajaan apa yang dimaksudkan kita haram melawan?
Kita ambil contoh di Mesir, kerajaan yang memerintah di Mesir sekarang adalah kerajaan haram As-Sisi yang merampas kuasa daripada kerajaan sah Dr. Mursi. adakah rakyat Mesir perlu patuh pada pemerintah As-Sisi tersebut? Kita pergi ke Palestin pula, Israel laknatullah menguasai sebahagian tanah Palestin dan mereka menyerang membabi buta rakyat Palestin untuk mereka meluaskan tanah jajahannya. Adakah haram rakyat Palestin untuk bangkit melawan? Mari kita lihat Syria pula. Mereka juga sedang dikuasai oleh kerajaan Syiah Bashar Assad yang semakin menggila membunuh umat Islam yang berfahaman Ahlus Sunnah Wal Jamaah (ASWJ). Adakah umat Islam di sana perlu mendiamkan diri untuk terus taat?
Situasi mereka dengan kita berbeza. Ujian umat Islam di Palestin adalah dengan Israel laknatullah. Ujian umat Islam di Mesir adalah dengan golongan sekular yang sebangsa dan seagama dengan mereka. Ujian di Syria pula adalah dengan golongan fahaman Syiah. Lihatlah! Lihatlah wahai sahabatku! Lihatlah wahai pembaca! Umat Islam seluruh dunia sedang ditekan. Belum lagi bercerita keadaan umat Islam di Myanmar, Kashmir, Iraq, Bosnia, Afghanistan. Tetapi ujian kita adalah mempunyai pemerintah yang zalim dan menindas rakyat.
Sedarlah wahai sahabat-sahabat dan para pembaca. Doa orang-orang yang dizalimi antara doa tanpa hijab. Doa orang dizalimi terus didengari oleh Allah. Bersangka baiklah dengan Allah jika apa yang kita doa tidak jadi serta-merta, malah anggaplah Allah lebih sayang pada kita supaya kita terus berdoa kepada-Nya. Lihat sahaja Palestin. Sudah berpuluh tahun diserang Israel. Adakah kerana kita umat Islam tidak berdoa? Mustahil. Adakah sebab doa kita Allah tidak terima? Tetapi inilah ujian Allah buat hamba-hambaNya yang terpilih yang mahu memandang ini adalah ujian daripadaNya.
Pasti kita pernah dengarkan ayat “ Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu sebelum kamu? mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (dengan ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: “Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah). ” - ( Al-Baqarah: 214 )
Yakinlah dengan firman Allah tersebut. Ada lagi Allah berfirman yang boleh kita jadikan renungan bersama untuk kita meletakkan segala-gala pada Allah. Firmannya : “ Allah tidak membebani seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya, ia mendapat pahala kebajikan yang diusahakannya dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang dilakukannya… ” - ( Al-Baqarah: 286)
Semoga penulisan ini dapat memberi manfaat pada yang membacanya.
Sekian. Wallahu'alam.
No comments:
Post a Comment