19 Safar 1435H
Assalammualaikum dan salam perjuangan buat semua...
Istilah 'kawan' itu wujud apabila kita sudah bertentang mata dan mengenali satu sama lain samada melalui perkenalan di kawasan kejiranan, perkenalan di pusat menimba ilmu, perkenalan di kawasan tempat bekerja, dan bermacam lagi. Istilah kawan juga boleh diterjemah walau kita tidak pernah bertentang mata apatah lagi mengenali antara satu sama lain. Inilah perkenalan melalui laman media sosial yang paling sinonim dengan masyarakat hari ini. BAHAYA!!! itu BAHAYA... bagi aku...
Melalui pandangan diri aku sendiri, kawan-kawan yang aku miliki agak ramai tetapi akan aku asingkan menjadi sahabat bagi yang terpilih. Bagi pandangan aku sahaja, kawan-kawan yang aku golongkan sebagai sahabat ini mereka yang telah aku merasai senang dan susah bersama mereka. Tapi apabila mahu mengenali kawan ialah apabila kita senang sahaja mereka ada, tidak pula semasa kita dalam kesulitan.
Pada golongan sahabat inilah yang akan aku ambil berat pasal mereka kerana pada golongan inilah telah wujud perasaan sayang aku pada mereka kerana Allah. Disebabkan perasaan sayang itulah apabila mereka susah aku perlu bersama dengan mereka untuk merasai apa yang mereka rasai dan kalau boleh selesaikannya. Apabila mereka dalam keadaan gembira, aku juga perlu ada bersama mereka untuk bergembira bersama-sama mereka. Tidak ada sebarang alasan untuk aku melarikan diri daripada mereka apabila mereka berada dalam kedua-dua situasi itu melainkan memang tak dapat dielakkan.
Dalam perhubungan silaturrahim inilah perlu ada rasa hormat-menghormati antara satu sama lain agar tidak wujud perasaan kurang senang mana-mana pihak. Tetapi bagi aku, jika mereka melakukan apa-apa yang menampakkan mereka mementingkan diri dalam situasi tertentu tidaklah aku terus membuang nilai persahabatan itu tetapi aku lebih memandang dari arah positif iaitu itu memang perangai dan sikapnya yang aku sendiri tidak mampu ubah dengan sekelip mata. Namun perlunya kita bijak dalam menangani situasi seperti ini untuk kita bersikap positif dan tidak membalas sikapnya itu dengan harapan mereka belajar memahami bagaimana untuk tidak bersikap sedemikian.
Ada juga dalam golongan itu yang berlalu pergi begitu sahaja tanpa mengatakan apa-apa. Tetapi bagi aku, mereka telah menjumpai kehidupan lebih baik untuk mereka meneruskan hidup. Aku tidak pun berkecil hati pada mereka yang bertindak demikian. Jika mereka datang semula mencari aku, aku tetap menganggap mereka itu sahabat terbaik yang pernah aku miliki.
Wahai sahabat-sahabatku. Aku menyayangimu sebagaimana aku menganggap kalian sebahagian daripada keluargaku. Kadang-kadang ada perkara yang aku ingin mengajak kalian bersama tetapi aku gagal untuk melawan perasaan itu seperti mengajak kalian ke tempat majlis-majlis ilmu. Aku merasakan aku tidak kuat untuk mengajak kalian ke tempat-tempat seperti ini kerana aku risau kalian tidak selesa keadaan itu. Namun jauh di sudut hati ini untuk kita bersama-sama menimba ilmu akhirat untuk bekalan kita kesana nanti. Kepada kawan-kawan dan sahabat-sahabat yang aku sayangi, aku lebih menghargai kalian apabila kalian mampu menegur kesilapanku dan perkara yang tidak baik aku lakukan BERBANDING kalian senyap dan bersetuju dengan tindakan aku yang melanggar syariat Islam.
Buat pengetahuan kawan-kawan dan sahabat-sahabat, jika kalian ada merasakan kalian membuat salah kepadaku dan bersangka aku berdendam dengan kalian maka lupakanlah. aku sentiasa tidak menyimpan dendam tetapi aku akan memaafkan semua salah orang terhadapku. aku lebih inginkan kita mudah untuk urusan akhirat. andai aku tidak memaafkannya, aku yakin mesti ada pihak yang sukar dalam melepasi azab kubur itu nanti. maka kerana sayangku pada semua, aku akan memaafkan kalian setiap tindakan kalian yang kadang-kala tidak aku senangi. maka dengan itu juga, aku ingin memohon kepada kalian untuk memaafkan aku jika ada tindakan aku membuatkan kalian tidak menyenanginya. aku juga ingin dipermudahkan urusanku di akhirat nanti. maka maafkanlah jika ada salah dan silapku dalam kehidupan kalian.
sengaja aku catatkan diruangan ini untuk ia menjadi rujukan andai aku dijemput Allah nanti. aku tidak tahu bila malaikat mahu mencabut nyawaku. mungkin kejap lagi, mungkin esok, mungkin tahun depan, mungkin lima tahun lagi. itu semua rahsia milik Allah. tetapi aku mengambil langkah awal ini supaya kalian yang membacanya dapat apa yang ingin aku sampaikan. akhir kata, bertaqwalah kita kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Tegurlah aku jika aku melakukan kesilapan kerana itulah sahabat yang terbaik bagi aku.
Sekian. Wallahu'alam...
No comments:
Post a Comment