27 December 2013

Broga Mu Takyah Tunggu, Kami Telah Tawan!

24 Safar 1435


Assalammualaikum dan salam perjuangan buat semua. 

Pada 22 Safar 1435 lepas bersamaan 25 Disember 2013, telah aku tawan Bukit Broga bersama teman-teman. Kumpulan kami ada dalam 10 orang.
Asalnya perancangan untuk ke Bukit Broga ini dah lama sebenarnya, tapi masa macam bagi tak bagi je. Akhirnya terlaksana juga hajat untuk menawan Bukit Broga ini. Syukur, Alhamdulillah. Semuanya kita sandarkan pada Allah. Kebetulan pagi Selasa tu, dalam kelas masa presentation BEL serentak Mior dengan Marwan ajak kawan perempuan pergi sekali dan mereka pun on je maka lepas balik present tu terpaksalah cari kereta sewa.

Kebetulan ada, maka okayy laa kann. Pastu rancang punya rancang nak gerak 3 kereta. kejap 4 kereta. kejap 5 kereta. ye laa, kami jangkakan satu kelas nak pergi dan kereta pun dah ada 5. tapi lepas Maghrib hari tersebut, satu per satu cakap tak jadi pergi. perghhh cakap kau. yang tak jadi tu plak tuan punya kereta, yang memang kita harapkan dia bawak kereta dia. Tapi bernasib baik orang yang diajak pun tak jadi pergi. Maka tinggallah 10 orang yang pergi dan kereta 2 buah. Memang ngam-ngam laa kata orang.

Aku rancang gerak pukul 3, tapi itu ini itu ini dalam pukul 3.15 keluar dari rumah. Pastu ambik kawan perempuan lagi, dan aku cakap pada mereka paling lambat dalam pukul 4 pagi tu dah kena naik lebuhraya. Kurang lebih pukul 4 pagi tuu memang dah masuk lebuhraya. Mujurlah masa tak lari mana. Tapi dalam hati risau juga sampai lambat. Sebab dah laa tak tahu jalan. Memang ikut GPS je laa.

Sampai-sampai dalam pukul 5 lebih pastu apa lagi, Bukit Broga Mu Tunggu Kami Tawan! hehe. Dengan perasaan excited bercampur cuak, aku gagahkan langkah untuk tawan Bukit Broga itu.
Tengok gambar atas ni, baru sikit dah mengah dorang. Ni baru awal lagi ni. Hahaha. Mencabar tak mencabar laa naik ni. Tapi semangat anak Malaysia ini tertanam dalam setiap jiwa dalam kalangan kita, maka kami tetap teruskan perjalanan menuju puncak. Apa nak jadi, jadi laa. Hehe. Takde laa gitu. Kalau dalam kalangan kami ada yang tak larat, kami berhenti dulu. rehat dulu. Ambik tenaga dulu. Itulah semangat setia kawan yang mesti ada dalam hal-hal macam ni.
Tengok Atie tuu. Dia laa orang yang paling letih dalam misi menawan Bukit Broga ni. Hehe. Kesian atie tercungap-cungap nak sampai puncak. Risau juga awal-awal takut atie tak larat nak naik. Takkan nak tinggalkan atie kat bawah sorang-sorang, memang tak laa. Tapi nasib baik semangat atie kuat. Dah laa dia demam beberapa hari lepas. Badan mesti tak cergas lagi. Harap-harap balik tuu badan atie terus sihat.

Lepas tuu, mendaki laa kami semua. Satu per satu kita tawan. Mujur perjalanan lancar. Yang aku nampak kat sini memang semangat kita yang membuatkan kita mampu untuk teruskan perjalanan. Kalau ikut letih dan tak larat, memang dah tersadai tengah jalan dah. Semangat tuu penting.
Tengok aksi-aksi mereka yang begitu bersemangat untuk menawan Bukit Broga ini. 




Dalam pukul 6 lebih macam tuu kott sampai atas. Bila tengok pemandangan bawah, bapak goyang. Tinggi gila kott. Tu baru Bukit Broga, belum lagi bukit lain atau gunung-gunung ke. Itu pun dah mencabar aku rasa. Tapi memang situ jadi tumpuan orang ramai laa. Ramai kott yang naik Bukit Broga tu. 

Dah sampai atas tuu agak lama jugak laa ambik masa bertenang. Rehatkan diri sebelum sambung turun balik. Ambik gambar dorang puas-puas. Ye laa tak tahu pulak bila boleh sampai sini lagi kann. Jadi ambik laa gambar sebanyaknya jadikan kenangan.



Tengok atie tuu, suka sangat buat muka comel dia. Mana tak banyak gambar dia aku tangkap. Yang din ni memang pandai bergaya. Orang pandai buat gaya lagi suka laa aku ambik gambar. Bukan senang beraksi spontan depan kamera.
Dah tenang semua. Dah kumpul tenaga. Maka kami mulakan perjalanan untuk turun semula. Weyyy cakap luu. Goyang beb nak turun tuu. Dah laa tapak kasut aku haus, dengan tanah licin pulak berembun kann. Memang melatah-melatah laa dibuatnya. 

Ni aksi mereka dalam menuruni Bukit Broga tuu.










Naik Bukit Broga ni takde hal lagi bagi aku. Memang favourite aku laa kann. Bab-bab ekstrem macam ni suka laa. Berlari sana, melompat sini, tapi masalah bila turun. Fuhhhhh!!! Memang gila aku rasa. Lutut aku dah menggigil gila kott. Tapi aku pelik yang dorang ni pulak okayy jer, lagi-lagi atie tuu. Takde pulak dia mengah. Aku ni yang banyak tersadai tepi. Tapi disebabkan dorang lajuuu jer turun terpaksa aku ikut rentak dorang. Aku rasa kalau lutut aku terkeluar memang dorang kena angkut aku turun laa. Nasib baik kukuh lagi lutut ni.

Ni gambar masa kami semua dalam perjalanan menuruni Bukit Broga ini. Jumpa batu, bergambar kat batu tu. Memang cun.
Dah penat sangat dah atie masa ni. Ni masa dah sampai puncak.
Itu sahaja yang dapat aku lakarkan cerita dalam entri kali ini. Siapa yang belum pergi Bukit Broga ini, disarankan untuk pergi. Best sangat. Mencabar memang mencabar. Aku rasa dalam hidup aku ini yang paling mencabar aku pernah rasa dan aku mana pernah naik bukit-bukit macam ini apatah lagi gunung. Tapi jika ada kesempatan orang ajak memang aku ikut.

Tapi lagi best jika satu kelas dapat pergi sama-sama. Apa boleh buat, masing-masing ada hal. Ini saje yang dapat pergi sama-sama. Harap bila-bila boleh kita buat lagi event macam ini untuk sama-sama gi. Bukan senang nak beriadah bersama-sama. Lagi pun waktu seperti inilah yang perlu kita sama-sama beraktiviti dalam mengukuhkan tali ikatan setia kawan. Daripada sini kita dapat bina ikatan ukhwah yang mana untuk dijaga sampai ke akhir hayat.

Itu sahaja buat kali ini dan ada satu mesej yang aku bawak semasa sampai di puncak Broga tuu. Ni dia simbol R4BIA untuk rakyat Mesir dan seluruh umat Islam. Mesej perjuangan ini khas untuk semua umat Islam dalam dunia ini untuk tidak leka dalam semua hal. Matlamat hidup kita untuk mencapai kegemilangan semasa di akhir. Allah dan Rasul matlamat hidup kita sebenar. Mesir, Syria, Palestin, Rohingya, dan seluruhnya. Aku akan tetapkan mendoakan kalian semua untuk terus berjuang dalam memperjuangkan akidah dan syariat Islam.

Sekian. Wallahu'alam.

22 December 2013

Andai Ku Tahu, Malaikat Akan Menjemput Ku

19 Safar 1435H

Assalammualaikum dan salam perjuangan buat semua...

Istilah 'kawan' itu wujud apabila kita sudah bertentang mata dan mengenali satu sama lain samada melalui perkenalan di kawasan kejiranan, perkenalan di pusat menimba ilmu, perkenalan di kawasan tempat bekerja, dan bermacam lagi. Istilah kawan juga boleh diterjemah walau kita tidak pernah bertentang mata apatah lagi mengenali antara satu sama lain. Inilah perkenalan melalui laman media sosial yang paling sinonim dengan masyarakat hari ini. BAHAYA!!! itu BAHAYA... bagi aku...

Melalui pandangan diri aku sendiri, kawan-kawan yang aku miliki agak ramai tetapi akan aku asingkan menjadi sahabat bagi yang terpilih. Bagi pandangan aku sahaja, kawan-kawan yang aku golongkan sebagai sahabat ini mereka yang telah aku merasai senang dan susah bersama mereka. Tapi apabila mahu mengenali kawan ialah apabila kita senang sahaja mereka ada, tidak pula semasa kita dalam kesulitan.

Pada golongan sahabat inilah yang akan aku ambil berat pasal mereka kerana pada golongan inilah telah wujud perasaan sayang aku pada mereka kerana Allah. Disebabkan perasaan sayang itulah apabila mereka susah aku perlu bersama dengan mereka untuk merasai apa yang mereka rasai dan kalau boleh selesaikannya. Apabila mereka dalam keadaan gembira, aku juga perlu ada bersama mereka untuk bergembira bersama-sama mereka. Tidak ada sebarang alasan untuk aku melarikan diri daripada mereka apabila mereka berada dalam kedua-dua situasi itu melainkan memang tak dapat dielakkan.

Dalam perhubungan silaturrahim inilah perlu ada rasa hormat-menghormati antara satu sama lain agar tidak wujud perasaan kurang senang mana-mana pihak. Tetapi bagi aku, jika mereka melakukan apa-apa yang menampakkan mereka mementingkan diri dalam situasi tertentu tidaklah aku terus membuang nilai persahabatan itu tetapi aku lebih memandang dari arah positif iaitu itu memang perangai dan sikapnya yang aku sendiri tidak mampu ubah dengan sekelip mata. Namun perlunya kita bijak dalam menangani situasi seperti ini untuk kita bersikap positif dan tidak membalas sikapnya itu dengan harapan mereka belajar memahami bagaimana untuk tidak bersikap sedemikian.

Ada juga dalam golongan itu yang berlalu pergi begitu sahaja tanpa mengatakan apa-apa. Tetapi bagi aku, mereka telah menjumpai kehidupan lebih baik untuk mereka meneruskan hidup. Aku tidak pun berkecil hati pada mereka yang bertindak demikian. Jika mereka datang semula mencari aku, aku tetap menganggap mereka itu sahabat terbaik yang pernah aku miliki.

Wahai sahabat-sahabatku. Aku menyayangimu sebagaimana aku menganggap kalian sebahagian daripada keluargaku. Kadang-kadang ada perkara yang aku ingin mengajak kalian bersama tetapi aku gagal untuk melawan perasaan itu seperti mengajak kalian ke tempat majlis-majlis ilmu. Aku merasakan aku tidak kuat untuk mengajak kalian ke tempat-tempat seperti ini kerana aku risau kalian tidak selesa keadaan itu. Namun jauh di sudut hati ini untuk kita bersama-sama menimba ilmu akhirat untuk bekalan kita kesana nanti. Kepada kawan-kawan dan sahabat-sahabat yang aku sayangi, aku lebih menghargai kalian apabila kalian mampu menegur kesilapanku dan perkara yang tidak baik aku lakukan BERBANDING kalian senyap dan bersetuju dengan tindakan aku yang melanggar syariat Islam.

Buat pengetahuan kawan-kawan dan sahabat-sahabat, jika kalian ada merasakan kalian membuat salah kepadaku dan bersangka aku berdendam dengan kalian maka lupakanlah. aku sentiasa tidak menyimpan dendam tetapi aku akan memaafkan semua salah orang terhadapku. aku lebih inginkan kita mudah untuk urusan akhirat. andai aku tidak memaafkannya, aku yakin mesti ada pihak yang sukar dalam melepasi azab kubur itu nanti. maka kerana sayangku pada semua, aku akan memaafkan kalian setiap tindakan kalian yang kadang-kala tidak aku senangi. maka dengan itu juga, aku ingin memohon kepada kalian untuk memaafkan aku jika ada tindakan aku membuatkan kalian tidak menyenanginya. aku juga ingin dipermudahkan urusanku di akhirat nanti. maka maafkanlah jika ada salah dan silapku dalam kehidupan kalian.

sengaja aku catatkan diruangan ini untuk ia menjadi rujukan andai aku dijemput Allah nanti. aku tidak tahu bila malaikat mahu mencabut nyawaku. mungkin kejap lagi, mungkin esok, mungkin tahun depan, mungkin lima tahun lagi. itu semua rahsia milik Allah. tetapi aku mengambil langkah awal ini supaya kalian yang membacanya dapat apa yang ingin aku sampaikan. akhir kata, bertaqwalah kita kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Tegurlah aku jika aku melakukan kesilapan kerana itulah sahabat yang terbaik bagi aku.

Sekian. Wallahu'alam...

21 December 2013

Nak Masuk Syurga Tanpa Ujian?

18 Safar 1435H

Assalammualaikum dan salam perjuangan kepada pembaca.


Syukur pada Allah yang masih menghidupkan kita setelah kita dimatikan sementara sepanjang malam tadi. Selawat dan salam ke atas penghulu terulung kita Rasullullah S.A.W. dan keluarga baginda Rasullullah S.A.W. serta sahabat-sahabat baginda Rasullullah S.A.W.


Melihat kepada tekanan kos sara hidup masyarakat kita hari ini semakin meningkat, tidak lain dan tidak bukan kita kembali kepada Allah. Sememangnya kita tidak bersetuju dengan pemerintah hari ini yang menekan kos hidup masyarakat tetapi paling utama adalah kembalikan situasi ini kepada Allah. Rasullullah S.A.W. ada mengingatkan kita apabila datangnya sebuah pemerintah yang zalim, itu merupakan antara tanda kiamat. Jika diamati daripada sudut pandangan Islam, perkara ini kita tidak boleh lari kerana ia telah disabdakan Rasullullah S.A.W. sendiri dan setiap kata-kata Baginda Rasullullah S.A.W. adalah yang benar belaka.


Bantah memang kita perlu bantah, benci memang kita perlu benci. Tetapi jangan bantah dan benci semata-mata tetapi harus dengan niat kerana Allah. Seperti mana yang berlaku di Palestin, Mesir, Syria, dan seluruh dunia yang umat Islamnya ditindas. Adakah mereka perlu mendiamkan diri sahaja tanpa melawan? Itu tidaklah seperti apa yang Islam sarankan. Sedangkan arahan ibu bapa yang menyuruh kita melanggar syariat Islam pun tidak wajib kita turuti, inikan pula pemerintah. Ada beberapa ustaz-ustaz yang menggunakan ayat-ayat Al-Quran yang mengharamkan kita melawan kerajaan, tetapi ustaz-ustaz tersebut tidak menceritakan kriteria kerajaan apa yang dimaksudkan kita haram melawan?


Kita ambil contoh di Mesir, kerajaan yang memerintah di Mesir sekarang adalah kerajaan haram As-Sisi yang merampas kuasa daripada kerajaan sah Dr. Mursi. adakah rakyat Mesir perlu patuh pada pemerintah As-Sisi tersebut? Kita pergi ke Palestin pula, Israel laknatullah menguasai sebahagian tanah Palestin dan mereka menyerang membabi buta rakyat Palestin untuk mereka meluaskan tanah jajahannya. Adakah haram rakyat Palestin untuk bangkit melawan? Mari kita lihat Syria pula. Mereka juga sedang dikuasai oleh kerajaan Syiah Bashar Assad yang semakin menggila membunuh umat Islam yang berfahaman Ahlus Sunnah Wal Jamaah (ASWJ). Adakah umat Islam di sana perlu mendiamkan diri untuk terus taat?


Situasi mereka dengan kita berbeza. Ujian umat Islam di Palestin adalah dengan Israel laknatullah. Ujian umat Islam di Mesir adalah dengan golongan sekular yang sebangsa dan seagama dengan mereka. Ujian di Syria pula adalah dengan golongan fahaman Syiah. Lihatlah! Lihatlah wahai sahabatku! Lihatlah wahai pembaca! Umat Islam seluruh dunia sedang ditekan. Belum lagi bercerita keadaan umat Islam di Myanmar, Kashmir, Iraq, Bosnia, Afghanistan. Tetapi ujian kita adalah mempunyai pemerintah yang zalim dan menindas rakyat.


Sedarlah wahai sahabat-sahabat dan para pembaca. Doa orang-orang yang dizalimi antara doa tanpa hijab. Doa orang dizalimi terus didengari oleh Allah. Bersangka baiklah dengan Allah jika apa yang kita doa tidak jadi serta-merta, malah anggaplah Allah lebih sayang pada kita supaya kita terus berdoa kepada-Nya. Lihat sahaja Palestin. Sudah berpuluh tahun diserang Israel. Adakah kerana kita umat Islam tidak berdoa? Mustahil. Adakah sebab doa kita Allah tidak terima? Tetapi inilah ujian Allah buat hamba-hambaNya yang terpilih yang mahu memandang ini adalah ujian daripadaNya.


Pasti kita pernah dengarkan ayat “ Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu sebelum kamu? mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (dengan ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: “Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).  - ( Al-Baqarah: 214 )


Yakinlah dengan firman Allah tersebut. Ada lagi Allah berfirman yang boleh kita jadikan renungan bersama untuk kita meletakkan segala-gala pada Allah. Firmannya : “ Allah tidak membebani seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya, ia mendapat pahala kebajikan yang diusahakannya dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang dilakukannya… - ( Al-Baqarah: 286)


Semoga penulisan ini dapat memberi manfaat pada yang membacanya. 


Sekian. Wallahu'alam.

14 December 2013

Signal Alam

11 Safar 1435H

Assalammualaikum dan salam perjuangan buat semua.

Sungguh! Sungguh! Sungguh! Sungguh sebenarnya sesiapa yang ingin membawa obor Islam dalam kehidupannya akan mendapat kecelakaan hidupnya. Itu kata manusia, namun tidak bagi Allah. Allah sentiasa bersama hambaNya yang istiqamah membawa obor Islam dalam hidupnya.
Semalam dunia Islam digemparkan dengan hukuman kejam, gantung sampai mati oleh kerajaan Bangladesh ke atas Penolong Setiausaha Agung Jamaat-e Islami Bangladesh iaitu Abdul Quader Molla. Hukuman tersebut dicipta atas fitnah ke atas as-Syahid yang mempertahankan keadilan rakyatnya. Hukuman asalnya adalah penjara seumur hidup telah ditukar kepada hukuman gantung sampai mati merupakan agenda jahat golongan-golongan yang membenci Islam di negara tersebut sedangkan yang menjatuhkan hukuman itu merupakan orang yang sebangsa dan seagama dengan as-Syahid.

Buat penyokong-penyokong Jamaat-e Islami Bangladesh dan keluarga as-Syahid, bersabarlah dengan ujian Allah ini. Dunia hanyalah pentas lakonan manusia semata-mata dan yang kekal hanya kehidupan akhirat. Moga arwah Abdul Quader Molla digolongkan bersama roh pejuang-pejuang agung yang mati syahid di jalan Allah. Moga kalian istiqamah untuk terus mengibarkan syiar Islam disana dalam menegakkan keadilan.

MANAKALA.....

Iklim dunia sudah menjadi celaru. Celaru sebab apa? Sebab tidak seperti kebiasaan. Namun disitu manusia perlu ambil peringatan atas setiap yang berlaku. Setiap perubahan alam yang berlaku merupakan peringatan Allah kepada manusia untuk mengambil pengajaran daripadanya. Kini di Mesir, salji mula turun memenuhi kawasan-kawasan disitu seperti Cairo, Beheira, dan Sinai. Mengikut sejarah, terakhir salji turun ini berlaku pada 112 tahun yang lalu namun ia kembali pada ketika ini. Apakah signal atau pengajaran yang Allah cuba tunjukkan? Itu di Mesir.

Tetapi tahukah kita di Syria juga menghadapi situasi yang sama? Mereka lebih terseksa kerana tekanan nyawa dan keadaan iklim sejuk yang menyelubungi mereka. Disaat nyawa mereka bila-bila masa diragut oleh golongan puak zalim Syiah Basyar Assad, mereka juga terpaksa mencari tempat tinggal untuk mereka berlindung daripada kesejukkan cuaca disana. Setakat ini dicatatkan lebih 3 bayi telah mati kerana kesejukan. Suhu mereka disana mencecah -20 selsius. Yaa, NEGATIF. Disini ingin juga penulis mengajak kepada semua manusia yang memiliki harta lebih untuk turut menyumbangkan duit, baju sejuk, toto dan selimut kepada rakyat Syria. Mereka sangat memerlukan bantuan manusia lain. Semakin banyak kita memberi bantuan kepada orang, semakin Allah tambah rezeki kita. YAKINLAH...
Sumbangan boleh dibuat terus ke akaun MAYBANK GABUNGAN SALAM SYRIA dengan nombor akaunnya 5622-1820-7666. Bagi maklumat lanjut boleh terus ke mukabuku https://www.facebook.com/MLL4S dengan info-info terkini akan diupdate masa ke masa. Situasi sama turut berlaku di Gaza, Palestin. Salji sudah memenuhi tempat-tempat disana. Masjid kubah kuning disana turut diselaputi salji.
Akhir kata, janganlah kita berpaling dari jalan Allah. Buat jahat macam mana pun kita, yakinlah tentang balasan Allah. Sesungguhnya pintu keampunan dan pintu taubat masih lagi terbuka luas.

Sekian.