Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Dunia tanpa sempadan. Besi-besi berterbangan di udara, juga bertebaran di samudera. Manusia bergerak sambil duduk-duduk sahaja. Era perhubungan atau komunikasi telah maju. Gelombang menggerakkan aksara melalui patah-patah sms, mms, e-mel, dan juga faksimili.
Megah dunia ini dengan kecanggihan teknologi. Semakin hari semakin berkembang pesat dan tidak dapat dihalang lagi. Pun demikian, di celah-celah kerajaan teknologi, masih hidup hati-hati yang mencintai Allah.
Kerajaan teknologi terus mara. Menakluk dan menguasai segala. Berkembang dan meluaskan jajahannya. Inilah pembangunan, inilah kemajuan. Namun ia rupanya membawa bersama anasir api yang sedikit demi sedikit membakar dan menghanguskan kemanusiaan, jua ketaqwaan.
Mampukah hati-hati yang mencintai Allah terus hidup di dalam kepanasan api yang kian marak membakar? Perlukah mereka lari menghindari atau harus berani menghadapinya?
Jangan lari, namun beranikan diri dalam menghadapinya. Bantulah kebangkitan kerajaan teknologi tetapi padamkanlah anasir apinya dengan siraman ketaqwaanmu. Namun kuatkah engkau untuk melawan api yang kian menyala itu?
Wahai hati-hati yang mengakui cinta kepada Allah, caskanlah tenaga rohanimu agar ia teguh bertahan menerima asakan duniawi. Caskanlah ia lima waktu sehari semalam, tambahkan casnya di celah-celah yang lima itu, yakni di malam hari sebelum engkau pejamkan matamu dan di dingin dinihari setelah engkau mencelikkan matamu.
Di saat engkau sujud, bukan lagi ibu ayah, suami, isteri, saudara-mara, rakan taulan atau anak-anak yang paling hampir denganmu akan tetapi Allahlah yang paling hampir. Dia dekat denganmu melebihi urat lehermu sendiri. Dialah Allah; wajah yang engkau idam-idamkan dalam tidur dan jaga. Dialah Allah; wajah yang engkau rindu-rindukan ketika hayat dan jua ketika jasadmu tidak lagi bernyawa.
Senyumlah kerana engkau telah mencapai nikmat perhubungan termaju di antara Khaliq dan makhluk-Nya, dan caskanlah tenanga rohanimu, iaitu melalui sujud-sujud qudusmu!
Wallahua'lam.
No comments:
Post a Comment