11 October 2011

Cinta, Janganlah Seperti Embun

Assalamualaikum dan Salam Perjuangan...

Peribahasa Melayu, bagai embun di hujung rumput membawa maksud kasih sayang yang tidak berpanjangan atau berkekalan. Kasih embun pada rumput hanya seketika kerana apabila mentari muncul, keringlah ia dek kepanasan sang mentari. Namun begitu, embun akan hadir lagi keesokan harinya biarpun kasihnya tidak berpanjangan. Ia tetap setia.

Daripada Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : " Demi Allah yang jiwa ku di tangan-Nya tidak beriman seseorang kamu sebelum aku menjadi orang yang lebih dikasihinya daripada bapanya dan anaknya."

Orang-orang yang keras hati tidak akan mengenal kasih sayang, kurang peka perasaan, lagi tipis perikemanusiaannya. Berbeza halnya dengan orang yang dikurniakan Allah SWT dengan hati yang lembut, penuh kasih sayang lagi penuh kemurahan. Rasulullah SAW contohnya dikenali sebagai seorang yang penuh kasih sayang dan lembut hatinya.

Sudahkah kita berusaha mengamal dan mencontohi sikap baginda yang sangat terpuji itu hingga cinta kita pada Rasulullah bukan sekadar cinta buta, tapi cinta yang melahirkan ketaatan pada Allah SWT dan sikap mulia dalam kehidupan kita sehari-hari? Jika direnung, tidak wajar kita mengatakan bahawa kita mencintai Rasulullah sedangkan dalam kehidupan seharian, kita sering melanggar nasihat-nasihat baginda? Kecintaan kita pada baginda selama ini cuma cinta bersahaja, bukan juga cinta biasa sebagaimana cinta kita kepada anak-anak atau manusia yang lain. Sedangkan kecintaan Rasulullah pada kita umatnya amat mendalam dan luar biasa, disebut-sebut oleh baginda hingga nafas yang terakhir!

Sekian, Wallahu'alam...

No comments:

Post a Comment