29 August 2011

Raih Pingat Emas. Layakkah Kita?

Tinggal beberapa hari sahaja lagi, dan Ramadhan ini akan pergi. Di Malaysia, sambutan untuk kedatangan Syawal sangat meriah. Di sana sini, di pasaraya, di pusat membeli belah, kita tidak akan rasa aneh jika mendengar dendangan lagu-lagu Syawal sudah dimainkan. Bahkan, seawal 1 Ramadhan lagipun, ada pasaraya yang telah 'semangat' memasang lagu-lagu Syawal.

Berjalan sedikit sahaja, kita akan nampak promosi-promosi jualan Aidilfitri bergantungan di merata-rata tempat. Itu belum kira lagi, berderet-deret kedai pakaian dan baju raya bersaing menjual barangan masing-masing sebagai persediaan menyambut Syawal. Betapa seriusnya masyarakat kita membuat persediaan untuk menyambut Syawal. Ramadhan? Tidak pula seserius itu. Itulah masalah bila kita melihat keutamaan pada yang bukan utama.

Aidilfitri itu adalah hadiah daripada Allah untuk orang-orang yang berjaya menempuh sebulan Ramadhan ini. 'Aid' itu bermaksud perayaan. Dan 'fitri' itu adalah bermaksud kembali kepada fitrah. Dalam kata lain, Aidilfitri adalah perayaan bagi orang-orang yang berjaya kembali kepada fitrah.

Kita kembali seperti awal-awal kejadian kita. Seperti seorang bayi yang baru lahir. Tiada dosa. Bersih jiwa. Bergerak seperti semula, untuk menjadi hamba. Dan, Ramadhan adalah madrasah latihan untuk itu. Untuk melahirkan insan yang berjaya kembali kepada fitrah asal ciptaannya, fitrah seorang hamba yang sepatutnya tunduk kepada Penciptanya, bersih daripada dosa.

Dan, Aidilfitri sebenarnya adalah gerbang mahligai khusus untuk menyambut mereka yang berjaya mencapai tujuan itu. Hendak kembali semula seperti asal, bersih daripada dosa, maka kita kembali kepada saranan Nabi s.a.w. dalam hadis yang mafhum bermaksud:

"Barangsiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan berkira-kira, diampunkan dosa-dosanya yang lalu."

(Hadis Riwayat Bukhari)

Penuh keimanan, dan berkira-kira. Berapa ramai di kalangan kita, puasanya hanya sekadar tinggal menahan lapar dan dahaga? Sifat-sifat mazmumah lain, mengeji, mengumpat, mengucap kata nista masih setia menjadi zikir di bibir berbanding zikrullah. Mata, tidak berusaha dipelihara daripada memandang kepada dosa. Kaki, tetap tegar malas melangkah ke masjid untuk bersama menunaikan solat jemaah. Kalau ke masjid sekalipun, hanya pada awal-awal Ramadhan. Selepas itu, sudah tidak nampak batang hidung.

Maka, yang diperolehinya tidak lebih daripada hanya sekadar lapar dan dahaga. Tetapi, biasanya jenis-jenis inilah yang 'paling cepat' sekali bila sebutkan Aidilfitri. Sibuk buat itulah, sibuk buat inilah. Maklumlah, Aidilfitri setahun sekali, kenalah buat yang terbaik! Ramadhan itu pun setahun sekali juga. Kenapa tidak meriah pula sambutannya seperti Aidilfitri? Sedangkan Ramadhan itu yang lebih utama. Lalu, kita bertanya pada diri kita sendiri. Layakkah kita untuk Aidilfitri dengan keadaan begitu?

Ramadhan semakin sampai ke penghujung. Kalaulah manusia ditakdirkan tahu bila penghujung usianya, maka apa yang akan dilakukannya? Sudah pastilah dia akan bertungkus-lumus melakukan kebaikan. Kerana dia tahu dia akan mati pada tarikh sekian sekian. Lalu, Ramadhan pun begitu. Kita sudah tahu ia akan pergi meninggalkan kita. Kenapa tidak kita bertungkus-lumus juga merebut ganjaran yang paling bernilai di pusingan akhir ini? Pusingan akhir yang di dalamnya ada Lailatul Qadr. Kenapa kita tidak berusaha untuk merebutnya?

Sedangkan tahun hadapan, kita belum tentu lagi bertemu Ramadhan. Sedangkan tahun hadapan, kita belum dijamin masih hidup lagi. Maka, sekarang masanya. Sekarang masanya untuk kita perbaiki saki-baki hari yang masih tinggal dalam Ramadhan ini.

Bukanlah saki-baki ini kita tinggalkan terus, kerana sibuk dengan Aidilfitri. Sedangkan Nabi s.a.w. sendiri memberi keutamaan pada saki-baki Ramadhan ini. Maka, sepatutnya kita yang lebih banyak dosa dan tidak maksum (terpelihara daripada dosa) seperti Nabi SAW merebut saki-baki akhir Ramadhan ini. Supaya nanti kita termasuk orang-orang yang benar-benar layak untuk merayakan Aidilfitri. Supaya nanti kita termasuk orang-orang yang bersih jiwanya daripada dosa. Lalu, kenapa kita tidak benar-benar menghargainya?

Aku menghitung diri aku sendiri. Seolah-olah diri ini sebenarnya masih tidak layak untuk menyambut Aidilfitri. Aidilfitri itu adalah hari kemenangan. Menang dalam pertarungan antara IMAN dengan NAFSU. Tetapi, berapa ramaikah yang sebenar-benarnya menang dalam pertarungan ini?

Kalau dilihat waktu berbuka puasa, pun sudah cukup untuk memberi gambaran siapa yang menang sebenarnya. Itu belum kira lagi waktu solat tarawih. Solat tarawih itu memanglah dari segi bahasanya bermaksud rehat. Tetapi, ada orang yang benar-benar 'rehat' ketika solat tarawih kerana terlalu kekenyangan berbuka puasa. Dapat pahala, tetapi tidak memberi kesan pada pembersihan jiwa. Kerana solat dengan hati yang lalai.

Sebab itulah, Aidilfitri sebenarnya hanya layak untuk orang yang benar-benar menempuh Ramadhan ini dengan penuh keimanan dan berkira-kira. Penuh keimanan dalam erti kata dia menjaga kualiti amalannya sepanjang Ramadhan ini. Kalau bersedekah, biarlah beri yang terbaik. Kalau melaksanakan solat sunat, biarlah dalam keadaan terbaik dan memahami bacaan yang dibaca dalam solat. Kalau membaca Al-Quran, biarlah dengan penghayatan, bukan hanya sekadar ingin menghabiskan. Kalau memberi senyuman sekalipun, biarlah senyuman itu senyuman yang terbaik dalam dunia!

Berkira-kira dalam erti kata kita menghitung-hitung apakah telah cukup amalan kita pada hari ini untuk kita merebut janji-janji Allah dalam Ramadhan ini? Menyesali masa lalu yang telah kita bazirkan dan meningkatkan amalan dalam saki-baki hari yang ada supaya mampu menjadi asbab untuk kita meraih keampunan dan rahmat Allah serta pembebasan dari api neraka. Itu yang dimaksudkan dengan berkira-kira.

Mereka yang begini, merekalah yang layak menjadi graduan Ramadhan sebenarnya. Aidilfitri itu hanya layak untuk mereka yang begini. Mereka yang menempuh Ramadhan penuh iman dan berkira-kira. Muhasabah seketika. Kita di golongan mana?

Akhirnya, setelah kita memuhasabah, kita bandingkan rahmat Allah di dalam Ramadhan, dengan usaha kita yang terlalu sedikit untuk mengejarnya, kita akan nampak bahawa kita sebenarnya tidak layak untuk Aidilfitri. Kita bandingkan Ramadhan kita dengan Ramadhan para sahabat Nabi s.a.w., kita akan terasa betapa jauh sekali bezanya. Sahabat Nabi menangis ketika Ramadhan hendak meninggalkan mereka. Kita?

Kita menangis juga, tetapi sedih kerana tidak pulang ke kampung berhari raya, sedih kerana tahun ini ibu bapa sudah tidak sempat beraya bersama kita kerana telah meninggal dunia. Berbeza. Sungguh berbeza. Kita tidak menangisi Ramadhan yang pergi meninggalkan kita. Sedangkan ia musim bunga buat kita.

Bila direnung kembali, seolah-olahnya, Aidilfitri ini memang bukan untuk kita. Kerana kita kadang-kadang melayan Ramadhan sambil lewa. Kerana kita selalu lupa, ia sebenarnya medan latihan dan peningkatan buat diri kita. Kerana kita melihat, Ramadhan hanya sekadar puasa, maka ia tidak bernilai apa-apa kepada kita. Namun, kita masih ada masa. Tinggal saki-baki beberapa hari yang ada ini, marilah kita rebut dan rembat semua peluang yang ada supaya kita tidak tertinggal di belakang. Biarlah orang lain sibuk dengan persediaan untuk hari perayaan, tetapi kita sibuk mencari kedudukan di sisi Tuhan. Itu yang lebih besar. Itu yang menjamin kebahagiaan di hari perayaan. Mari, kita perbaiki saki-baki hari yang ada ini. Supaya nanti, kita keluar daripada Ramadhan, kita termasuk orang-orang yang berjaya! Ayuh, habiskan sisa Ramadhan ini dengan bermakna !

Dari Abu Hurairah ra (bahwasanya) Rasulullah SAW pernah naik mimbar kemudian berkata,

"Amin, Amin, Amin."

Ditanyakan kepadanya, "Ya Rasulullah, engkau naik mimbar kemudian mengucapkan Amin, Amin, Amin?"

Beliau bersabda, "Ertinya : Sesungguhnya Jibril 'Alaihis salam datang kepadaku, dia berkata, "Barangsiapa yang mendapati bulan Ramadhan tapi tidak diampuni dosanya maka akan masuk neraka dan akan Allah jauhkan dia, katakan "Amin", maka akupun mengucapkan Amin.."

28 August 2011

Lebaran Kunjung Tiba

Di samping kita terus berusaha untuk malam-malam terakhir Ramadhan ini, mari kita lihat sunnah amalan sambutan Aidilfitri yang bakal tiba agar ia menjadi sambutan beragama dan beribadah, bukan sekadar sambutan budaya.

Jika sepanjang bulan Ramadhan kita telah bersungguh-sungguh menghidupkan malam kita dengan pelbagai ibadah terutamanya solat qiyam Ramadhan (solat Terawih), ia seharusnya diteruskan juga pada hari-hari berikutnya dengan mengerjakan solat tahajjud.

Saranan ini tidak bermaksud mengkhususkan pada malam Aidilfitri untuk dikerjakan qiamullail. Apa yang cuba ditekankan di sini adalah semangat mengerjakan qiyam Ramadhan (solat Terawih) haruslah diteruskan dengan mengerjakan qiamullail pada hari-hari berikutnya sesudah bulan Ramadhan.

Disunnahkan kaum Muslimin menjamah makanan sebelum berangkat menunaikan Solat Aidilfitri. Perbuatan ini bertujuan menutup segala andaian bahawa dibenarkan berpuasa pada hari raya. Menurut al-Muhallab r.h:
"Mengenai hikmah menjamah makanan sebelum mengerjakan solat hari raya adalah agar seseorang tidak berpendapat bahawa dia boleh berpuasa sehingga Solat Hari Raya Aidilfitri dilaksanakan. Seolah-olah Rasulullah s.a.w ingin menutup prasangka semacam ini." – Rujuk Fath al-Bari, jil. 5, ms. 272.

Kebiasaannya, Rasulullah s.a.w akan memakan kurma dalam jumlah yang ganjil pada pagi hari raya. Namun, tidak bermakna umat Islam perlu menyediakan buah kurma untuk dimakan pada pagi hari raya Aidilfitri. Mereka bebas memakan apa sahaja.

Tetapi, mengikut sunnah itu lebih baik daripada menyanggahinya. Sedangkan, sunnah itu termasuk perkara tauqifi (tidak boleh dipersoalkan). Anas bin Malik r.a berkata:
"Rasulullah s.a.w tidak akan pergi ke tempat solat pada pagi Aidilfitri sebelum memakan beberapa biji kurma."

Murajja' bin Raja' berkata: Ubaidillah menceritakan kepadaku bahawa Anas r.a berkata: Rasulullah s.a.w memakannya dalam jumlah yang ganjil." – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 953.

Islam adalah agama yang begitu praktikal lagi munasabah. Setelah sebulan umat Islam memberi tumpuan sepenuhnya untuk beribadah kepada Allah, maka kini tiba masanya untuk menyambut kejayaan itu dengan kegembiraan dan kemeriahan.

Oleh itu, usaha-usaha untuk menimbulkan suasana kegembiraan di dalam keluarga masing-masing pada hari raya Aidilfitri adalah sebahagian daripada syiar Islam.

Suasana kegembiraan ini berbeza mengikut adat setempat. Bagi kita di Malaysia, kegembiraan sambutan hari raya Aidilfitri dapat dilihat dengan memakai baju-baju baru yang indah, seluruh ahli keluarga berkumpul, ziarah-menziarah sesama umat Islam dan pelbagai lagi.

Di sesetengah negara Timur Tengah, cuti umum hari raya Aidilfitri dipergunakan untuk membawa ahli keluarga bersiar-siar serta berkelah di tempat-tempat peranginan. Semua bentuk suasana kegembiraan dan kemeriahan ini adalah sebahagian dari tuntutan agama Islam sempena menyambut hari raya Aidilfitri selagi ia dilaksanakan sesuai dengan lunas-lunas syarak. Syeikh Sayyid Sabiq r.h berkata:
"Mengadakan permainan serta kegembiraan yang tidak melanggar aturan agama, termasuk pelbagai bentuk nyanyian yang baik (dari segi makna), semua itu termasuk syiar agama yang disyariatkan oleh Allah pada hari raya untuk melatih tubuh jasmani dan memberi kepuasan serta kegirangan hati." – Rujuk Fiqh al-Sunnah, Syeikh Sayyid Sabiq, jil. 2, ms. 290.

Rasulullah s.a.w sendiri telah membenarkan penduduk Madinah al-Munawwarah bergembira apabila munculnya hari raya Aidilfitri dan Aidiladha. Anas bin Malik r.a berkata:
"Nabi s.a.w pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya yang mana mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah pada kedua-dua hari itu. Lalu baginda berkata: Aku datang kepada kamu semua sedangkan kamu memiliki dua hari (raya) yang menjadi medan permainan kalian pada masa jahiliyyah. Sabdanya lagi: Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-dua hari itu dengan yang lebih baik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri." - Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunannya, no: 959

Yang Terakhir Yang Terindah

Sebulan itu 30 hari. Rasulullah membahagikan Ramadhan itu kepada tiga fasa. Fasa pertama adalah rahmat, fasa kedua pula keampunan dan fasa terakhir adalah perlepasan dari api neraka.

Secara mudahnya sepuluh hari pertama adalah untuk rahmat, sepuluh hari kedua untuk keampunan dan sepuluh hari ketiga adalah jaminan pelepasan dari api Neraka.

Ramadhan dikurniakan kepada umat Muhammad dengan kelebihan-kelebihan tertentu. Antara yang terdapat dalam bulan ini dan tidak terdapat dalam era orang-orang terdahulu adalah Lailatul Qadar.

Ulama berpendapat bahawa malam istimewa ini berada di celahan malam-malam sepuluh terakhir Ramadhan. Dan juga berada pada malam yang bernombor ganjil seperti 21, 23, 25, 27, 29. Wallahua'lam.

Namun sekali mendapatnya, pasti tergolong dari kalangan jutawan ibadah. Cukup bernilai hadiah yang dikurniakan Allah kepada umat Muhammad.

Ramadhan juga menyimpan beberapa peristiwa besar Islam iaitu penurunan al-Quran, dari Luh Mahfuuz ke langit dunia secara sekaligus sebelum di kecil-kecilkan penurunannya ke dalam hati Rasulullah mengikut suasana samada berupa jawapan kepada soalan masyarakat dan juga menjadi asbab untuk lebih senang mengingati al-Quran itu sendiri.

Tiga fasa yang disebutkan tadi, walaupun mudah dan senang saja bunyinya, namun untuk melepasinya dengan cemerlang, agak sukar kecuali bagi orang yang punya keazaman yang kuat dan istiqamah yang tinggi.

Untuk itu, mintalah bantuan dari Allah, kerana tanpa bantuan dari-Nya, mustahil untuk kita mencapai target kejayaan Ramadhan kali ini.

Semoga Ramadhan kali ini menjadi Ramadhan yang terbaik bagi kita semua. Insya-Allah. Wallahua'lam.

27 August 2011

Fasa Terakhir

Sepuluh Malam Terakhir sudah menjengah.

Yang menjadikan sepuluh malam terakhir Ramadhan kali ini amat dikejari adalah kewujudan Lailatul Qadr. Satu malam yang istimewanya melebihi 1000 bulan. Ia bukannya sama dengan seribu bulan. Tetapi jauh lebih baik lagi.

Allah S.W.T sendiri mengisytiharkan sedemikian dalam firman-Nya:
"Sesungguhnya Kami menurunkannya di dalam malam al-Qadr, dan adakah kau tahu apa itu Malam al-Qadr? Malam al-Qadr itu lebih baik dari sebulan bulan. Pada malam itu turunlah para malaikat, dan Ruh(Jibril) dengan izin Tuhan mereka untuk segala urusan. Sejahteralah malam itu sehingga terbitnya fajar." (Surah al-Qadar: Ayat 1-5)

Ini menyebabkan ramai yang teruja dengan Lailatul Qadr. Hendak ibadahnya dikira seakan-akan dia beribadah lebih dari 1000 bulan. Hendakkan dirinya terampun dan sebagainya.

Tetapi, bila dilihat kembali, seakan wujud satu lawak di dalam hal Lailatul Qadr orang kita.

Lailatul Qadr kamu, Lailatul Qadr aku
"Semalam Lailatul Qadr la."
"Eh, mana ada. Seingat aku dua hari lepas la."
"Ya Allah, sungguh, aku nampak tanda-tandanya."
"Mustahillah. Dua hari lepas tu aku nampak tanda-tandanya, jelas sangat."

Mungkin ini antara perbualan yang anda akan dengari sekiranya anda kaki mendengar perbualan orang. Saya apabila mendengar perbualan ini dari rakan-rakan saya, saya hanya tersengih sahaja.

Boleh pula seorang kata Lailatul Qadr malam ini dan seorang lagi kata dua hari lepas. Mengapa ya?

Jawapannya mudah, seorang bangun Qiamullail malam tadi, manakala seorang lagi bangun Qiamullail dua hari lepas. Sedangkan pada dua hari lepas, yang berqiamullail hari ini tidak bangun, manakala pada hari ini, yang berqiamullail dua hari lepas tidak bangun.

Maka jadilah Lailatul Qadr kamu, dan Lailatul Qadr aku.

Masing-masing nak mengaku dirinya mendapat Lailatul Qadr, pada hari dia bangun.

Rasulullah S.A.W dalam mengejar Lailatul Qadr telah menyatakan dengan jelas di dalam sabda baginda:

"Carilah Malam al-Qadr itu pada malam ganjil ketika sepuluh malam terakhir." Hadith Sohih riwayat Bukhari.
Rasulullah S.A.W dengan terang dan jelas menyatakan: "Carilah"

Tiada perkataan 'menanti' atau 'menunggu' atau mana-mana yang sekaum dengannya.

Dan mencari ini adalah bukan dengan 'menunggu' petanda pelik-pelik seperti pokok sujud, langit terang, dan sebagainya. Mencari di sini adalah dengan kita bersungguh-sungguh mengisi sepuluh malam terakhir itu dengan ibadah kepada Allah S.W.T.

Apakah hikmahnya Allah S.W.T menyembunyikan malam yang hebat penuh barakah ini? Yang Rasulullah S.A.W sabdakan sebagai:

"Barangsiapa yang mendirikan malam al-Qadr dengan penuh keimanan dan berkira-kira, nescaya akan diampunkan buatnya segala dosanya." (Hadith riwayat Bukhari)

Hikmahnya adalah tersembunyi di dalam ayat berikut:
"Adalah untuk melihat, di manakah antara kamu yang terbaik amalannya." (Surah al-Mulk: Ayat 2)

Lailatul Qadr bukanlah untuk mereka yang bermalas-malasan dan bermain-main dalam beribadah kepada Allah S.W.T. Bukan untuk mereka yang seakan-akan menanti durian runtuh sambil bergoyang kaki, menanti keampunan Allah dengan sambil lewa. Bukan dan bukan.

Lailatul Qadr adalah rezeki daripada Allah S.W.T yang diberikan hanya kepada mereka yang berusaha.

Anda bayangkan, bagi mereka yang mendirikan kesepuluh-sepuluh malam terakhir, apakah ada kemungkinan mereka akan terlepas Lailatul Qadr?

Semestinya tidak.

Tetapi untuk yang lip lap lip lap?

Banyak lompong untuk Lailatul Qadr bolos dari pelukan mereka.

Ternyata, Lailatul Qadr hanya untuk hamba Allah yang benar-benar bersungguh berusaha.

Jangan bermimpi hendak mendapatkan Syurga dengan bermain-main.

Dan perkara ini jelas menunjukkan kepada kita betapa perkara besar seperti keampunan Allah, rahmat-Nya, syurga-Nya, malam yang lebih baik dari 1000 bulan, bukanlah perkara yang kita boleh dapat dengan bernasib baik seakan-akan bermain loteri.

Tiada orang akan mendapat Syurga dengan bermain-main.

Semua mendapatkannya dengan kesungguhan.

Begitulah mahalnya al-Qadr.

Tidakkah kita memahami?

Dan untuk mereka yang telah berusaha bersungguh-sungguh
"Ala, kalau sungguh-sungguh daripada awal, tapi mungkin nanti malam Lailatul Qadr tu tertidur ke, kan sia-sia juga."

Mungkin sebahagian kita bagi alasan begitu pula.

Tak mengapa. Terlepas pun tak mengapa kalau kita dah sungguh-sungguh dari awal. Pada saya, orang yang bersungguh-sungguh dari awal, dia nampak kenapa dia beribadah, kenapa dia bersungguh-sungguh. Dia menyembah Allah, mengharap redha Allah. Bukannya dia menyembah Lailatul Qadr, mengharap redha malam itu kepadanya.

Dan jangan kita pandang enteng rahmat Allah S.W.T kepada orang yang berusaha mendekati-Nya dengan bersungguh-sungguh. Saya tak pernah rasa, bahawa Allah S.W.T akan mesia-siakan hamba-hamba-Nya yang bersungguh-sungguh itu. Orang yang bersungguh-sungguh ini, pastinya Allah akan berikan yang terbaik untuk-Nya.

Kalau tak dapat Lailatul Qadr, tapi dapat redha Allah, dapat pengampunan Allah, bukankah itu sudah dikira kemenangan?

Kalau dapat Lailatul Qadr, tapi kemudian tetap jadi manusia ingkar, tak ikut peraturan yang Allah tetapkan, maka apakah yang besarnya? Pahala lebih dari 1000 bulan itu, kemungkinan akan susut dengan sikap suka mengumpat, dengan dosa-dosa, dengan menganiaya orang lain dan sebagainya. Dapat Lailatul Qadr, lepas tak bangun dah qiam pada malam-malam lain. Adakah itu kemenangan?

Sedangkan, kita semua faham bahawa bukanlah Lailatul Qadr itu yang memberikan pahala. Allah jugalah yang memberikan pahala kepada kita.

Ramadhan masih belum berakhir. Sepuluh malam terakhir masih belum tamat.

Hidupnya kita lagi pada hari ini tanda Allah masih memberikan peluang kepada kita.

Maka sepatutnya kita tunjukkan kesyukuran kita dengan serius mempertingkatkan amalan.

Apakah kita tidak beriman dengan ayat-Nya?

"Sekiranya kamu bersyukur, maka Aku akan tambahkan(nikmat pemberian-Ku)."(Surah Ibrahim: Ayat 7)

Jadi bergeraklah wahai hamba Allah.

Bergerak merembat segala peluang yang Dia wujudkan untuk kamu hamba-Nya.

Selagi waktu dan nyawa masih ada pada kita.

Sayu Api Pelita

Di saat entri ini ditulis, Ramadhan akan meninggalkan kita dalam masa satu/dua hari sahaja lagi.

Bulan keberkatan, rahmat, keampunan sudah hampir menutup tirainya. Syaitan-Syaitan hampir dilepaskan belenggunya, pintu Neraka hampir dibuka.

Namun kita sebagai manusia (termasuk diri ini), masih terleka dengan kegembiraan syawal lebih dari kelebihan Ramadhan yang disebut.

Firman Allah dalam surah al-Baqarah : 183

"Wahai orang-orang Yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa."

Dalam ayat di atas jelas menunjukkan kesan terhadap orang-orang yang berpuasa adalah sejauh mana taqwanya meningkat.

Kita? Adakah taqwa kita meningkat? Sesungguhnya untunglah orang-orang yang berjaya mendapat kesan yang dijamin oleh ALLAH ayat di atas. Siapakah orang-orang tersebut?

Mereka ialah orang orang merasai terkesannya diri untuk menjadi lebih baik, gembira sewaktu kedatangan Ramadhan dan sedih sewaktu pemergiannya.

Mengapa mereka merasai begitu? Sudah tentulah kerana ganjaran dan kebaikannya tidak ada di dalam bulan-bulan lain.

Antara kelebihan Ramadhan ialah :

Pahala kebaikan digandakan. Masya-ALLAH. Bayangkan kalau di luar Ramadhan setiap satu kebaikan akan diberi sepuluh ganjaran, apatah lagi ramadhan?

Sebagai contoh, dengan membaca al-Quran, ganjarannya mengikut berapa huruf yang dibaca. Jika satu surah al-Fatihah di baca pada luar bulan Ramadhan, setiap huruf diberi ganjaran sepuluh kebaikan.

Jika dibulan Ramadhan, hanya dengan surah al-fatihah berganda-ganda ganjarannya. Apatah lagi yang menghabiskan satu al-Quran. Begitu juga sedeqah dan sebagainya.

Allah membuka pintu keampunan seluas-luasnya. Sedangkan Rasulullah yang ma'sum pon setiap hari bertaubat kepada ALLAH, inikan lagi kita, manusia biasa, yang tidak diberi apa-apa jaminan Syurga.

Hanya orang-orang bijak sahaja yang mengambil peluang sehabis baik meminta keampunan di bulan ini. Setiap tangisan airmata yang keluar ikhlas kerana ALLAH itulah yang akan membantu menyelamatkan kita dari seksaan azab Api Neraka.

Malam Lailatul Qadr. Ganjaran yang ada pada malam ini sama seperti beribadat selama 1000 bulan atau bersamaan dengan 83 tahun.

Mengikut salah satu pendapat ulama' berdasarkan nas-nas, ia berlaku pada sepuluh malam ganjil sepuluh terakhir bulan Ramadhan.

Semua ciptaan ALLAH tunduk sujud dengan cara tersendiri pada malam itu, inikan lagi manusia, yang diberi aqal, mereka perlulah lebih berusaha mencari malam ini.

Seperti firman Allah dalam (Surah al-Qadr : 1-5)

"Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada malam Lailatul-Qadar, dan apa jalannya Engkau dapat mengetahui apa Dia kebesaran malam Lailatul-Qadar itu? malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. pada malam itu, turun malaikat dan Jibril Dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa Segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun Yang berikut); sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!"

Doa dimakbulkan. Antara doa-doa akan ALLAH akan makbulkan dengan hebat ialah doa orang-orang yang berpuasa. Itupun jika puasa dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Berusaha untuk mencapainya, bukan setakat berdoa sahaja.

Dengan pemergian Ramadhan pada kali ini diharapkan memberi satu kekuatan dan latihan untuk terus istiqamah dalam melakukan amalan-amalan.

Oleh itu wahai rakan sekalian, sambutlah Aidilfitri dengan kegembiraan yang berpada-pada, janganlah sampai menjadikan Syawal sebagai hari balas dendam atas segala apa yang kita tahan selama bulan Ramadhan.

Kepada yang berusaha pergi bertarawikh di surau pada bulan Ramadhan, teruskan usahamu untuk berjamaah fardhu di luar bulan Ramadhan.

Kepada mereka yang berusaha berhenti merokok pada bulan Ramadhan, teruskan usaha anda untuk berhenti merokok.

Kepada yang selalu menahan diri untuk mencarut pada bulan Ramadhan, jaga mulutmu dari perkataan-perkataan yang tidak berguna itu selepas Ramadhan.

Kepada mereka yang letih sujud berqiamullail pada bulan Ramadhan, teruskan dengan bangun malam itu sepertimana kau mencari Lailatul Qadr di bulan Ramadhan.

Kepada mereka yang menahan diri dari ber'dating' dengan temanmu di bulan Ramadhan teruskan usahamu membina pertalian suci di antara dua hati yang bukan muhrim.

Kepada mereka yang menahan nafsu daripada melakukan perkara-perkara yang terjurus kepada kelucahan semasa bulan Ramadhan, jadikan Syawal dan bulan-bulan seterusnya sebagai permulaan kepada pengakhiran.

Kepada mereka yang berusaha menutup aurat untuk bertarawikh di surau pada bulan Ramadhan, teruskan usaha sucimu itu dibulan-bulan seterusnya. Agar ia menjadi kebiasaanmu kelak.

Dan begitulah selanjutnya, jadikanlah ramadhan sebagai latihan untuk kamu menjadi insan yang lebih berguna.

Hadith Rasulullah S.A.W:

"Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan."

(Riwayat Ahmad dan at-Tabrani daripada Anas)

25 August 2011

Menghidupkan Malam-malam Akhir Ramadhan


Sabda Rasulullah s.a.w, 'Barangsiapa yang mendirikan malam Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharap, diampunkan seluruh dosanya yang telah lalu'. Ramadhan datang dengan membawa seluruh macam kebaikan untuk kita umat Islam, cumanya terpulang kepada kita untuk berusaha mencarinya atau tidak. Firman Allah, 'Dan mereka yang bersungguh-sungguh untuk Kami, Kami akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami' (al-Ankabut: 69).

Diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w pada 10 malam terakhir Ramadhan baginda mengetatkan kain baginda, mengejutkan kaum keluarga dan menghidupkan malamnya. Baginda juga beriktikaf selama 10 hari dan pada tahun kewafatan baginda selama 20 hari ( Riwayat Bukhari, Abu Daud dan Ibn. Majah). Melihat kepada kepentingan menghidupkan malam-malam 10 terakhir Ramadhan di samping mengejar ganjaran-ganjaran yang sangat besar yang Allah sediakan di malam-malam tersebut terutamanya malam Lailatul Qadr yang mana ganjarannya lebih baik dari 1000 bulan, marilah kita berusaha untuk 3 perkara berikut (boleh juga perkara lain)

1. Melayangnya jiwa ketika membaca dan mentadabbur alQuran

2. Menikmati kelazatan berpenat dalam melakukan ketaatan dalam solat Qiam

3. Merasai keagungan Al-Khaliq ketika berdoa

Akhir-Akhir Ramadhan

Jika sepuluh hari terakhir Ramadhan merupakan saat di mana Rasulullah SAW memperbanyakkan amalan dengan berjaga malam, beriktikaf, dan mengejutkan ahli keluarga untuk bersama dengannya melaksanakan ibadah-ibadah sunat, bagaimanakah pula dengan kita?

Sewajarnya contoh yang ditunjukkan oleh Baginda dalam menghayati sepuluh hari terakhir Ramadhan dijadikan teladan kepada seluruh umat Islam pada hari ini.

Sesungguhnya pedoman yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW jelas mencerminkan kepada kita betapa tinggi dan bernilainya detik-detik terakhir Ramadhan yang sedang kita lalui saat ini. Alangkah malangnya jika kita semakin alpa dan lalai dalam melaksanakan ibadah kita pada saat-saat Ramadhan yang kian melabuhkan tirainya.

Sedangkan kita seharusnya menghidupkannya dengan meningkatkan lagi amalan-amalan sunat bagi meraih pahala berlipat ganda yang telah dijanjikan oleh Allah SWT. Lebih manis lagi apabila Allah SWT turut menjanjikan kehadiran malam Lailatulqadar (yakni malam yang lebih baik daripada seribu bulan) pada sepuluh malam terakhir Ramadhan.

Sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah al-Qadr (ayat 1-5) yang bermaksud:"Sesungguhnya kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam Lailatulqadar, dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatulqadar? Malam Lailatulqadar lebih baik daripada seribu bulan.Pada malam itu, turun Malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!"