29 January 2015

TGNA Yang Disayangi.

8 RabiulAkhir 1436 / 29 Januari 2015

Assalammualaikum dan salam perjuangan untuk semua.

Ini merupakan entri pertama untuk tahun 1436 Hijrah dan tahun 2015 Masihi setelah agak lama terbiar dan ditinggalkan. Ada masa terluang barulah berkesempatan untuk mengemaskini blog seperti sekarang ini.  Saat entri ini ditulis sedang berada di pejabat sedang berpraktikal. Ini pun ada masa terluang sebab aku ditempatkan di bahagian reception dek kerana orang yang sepatutnya sedang bercuti.

Mengenangkan tahap kesihatan Tok Guru Nik Aziz sekarang ini, sungguh sayu rasa hati. Tetapi saat entri ini ditulis, tahap kesihatannya diberitahu sudah kembali pulih. Sangat berharap agar Tok Guru Nik Aziz kembali sihat seperti sedia kala. Apa pun kita terus mendoakan yang terbaik untuk Allah aturkan jalan cerita hidup beliau. Allah kita serahkan segalanya. Berdasarkan cerita-cerita yang disampaikan bahawa doktor yang merawat Tok Guru begitu kagum melihat tindak balas beliau sepanjang tempoh pemerhatian. Mampu terjaga setiap kali waktu solat dan mampu bangun ditengah sepertiga malam untuk melakukan solat sunat Tahajjud terutamanya. Pedoman untuk kita ambil supaya kita sentiasa menjaga hubungan kita dengan Allah, nescaya disaat kita sakit masih mampu lagi kita beramal kepada Allah.  

Mahu menceritakan salasilah yang telah dilakukan oleh Tok Guru Nik Aziz memang takkan berkesudahan. Cukuplah mengatakan bahawa hanya orang yang mengetahui sahaja yang tahu apa yang beliau sudah lakukan terutamanya ketika zaman pemerintahan beliau. Antaranya ialah sistem perbankan Islam jika anda boleh cari siapakah yang memperjuangkannya. Sekarang sistem perbankan Islam sudah digunakan secara meluas dalam Malaysia ini. Namun satu pesanan beliau yang masih aku ingat yang tidak ramai melakukannya lagi ialah beliau mahu kaum wanita juga mendengar khutbah Jumaat yang disampaikan setiap minggu. Beliau tidak mahu kaum wanita ketinggalan dalam pesanan yang disampaikan didalam khutbah Jumaat.

Beliau turut banyak menerbitkan buku dalam bab-bab agama. Kalau mahu mengumpulkan semua karya penulisan beliau, rasanya tak termampu kita. Bacalah karya penulisan Tok Guru Nik Aziz. Banyak mengajar dan menyedarkan kita dalam perihal Islam.

Sungguh cita-cita aku yang sudah lama tertanam dalam hati ini adalah berjumpa dan bersalaman dengan Tok Guru Nik Aziz, tetapi masih tidak berkesempatan. Sangat-sangat berharap cita-cita dan harapan aku itu tertunai.

Marilah kita sama-sama mendoakan kebaikan untuk Allah berikan dalam kehidupan Tok Guru Nik Aziz. Aku sayang TGNA.